Showing posts with label Mazidul. Show all posts
Showing posts with label Mazidul. Show all posts

Tuesday, June 26, 2012

JIKA TIDAK BERSELERA MAKAN SILA BACA DAN TONTON KLIP VIDEO DI ENTRI INI


"Makanlah, ini sahaja ada untuk hari ini. Bersyukurlah, sekurang-kurangnya Allah memberikan kita rezeki," ujar ibu.

Barangkali sebilangan kita pernah mendengar kenyataan itu sewaktu kecil. Ketika itu mungkin kita hanya makan nasi putih berlaukkan ikan masin dan kicap pekat sahaja.

Saya dibesarkan di kampung dan pernah makan hidangan sebegitu di rumah jiran. Namun selera tidak pernah terbantut kerana kemeriahan makan bersama 10 anak jiran terbabit. 

Makan di atas lantai buluh, berpinggan ayan.

Peristiwa itu berlaku kira-kira 40 tahun lalu.

Makanan anak sekarang mewah. Mereka dihidangkan ayam, daging dan pelbagai jenis ikan.

Apapun kita semua sebenarnya amat bertuah samada makan ikan masin atau lauk lain berbanding mereka tinggal di Haiti. Dilaporkan, pendapatan purata penduduk pulau terbabit kurang RM6 sehari. Justeru mereka tidak mampu untuk membeli beras, akibatnya 80% penduduk memakan 'mud cookies' atau biskut tanah liat.

Bisku sama juga digelar 'dirt cookies'.

Lihat lidah anak kecil di bawah selepas memakan mud cookies di negara termiskin di hemisfera barat. Dilaporkan biarpun biskut dicampur garam, gula dan serbuk perasa berasaskan sayuran, rasa tanah kekal di lidah buat jangka waktu agak lama.

Tonton bagaimana mud cookies diperbuat.


Selepas menonton klip video di bawah, kita semua seharusnya berasa bersyukur dengan pelbagai makanan dihidangkan di atas meja setiap hari.

Sekaligus hargailah keamanan dan kemakmuran dikecapi di negara kita ini berbanding negara dilanda krisis politik dan gempa bumi itu.


Sila kongsikan kandungan entri ini bersama anak, agar mereka semua lebih menghargai  juadah kita sediakan setiap hari.


sumber : sini







Monday, June 25, 2012

GADIS INGIN MENJADI ARTIS ... AYAH TAWARKAN KERJA GRO ( Eksklusif )


"Assalamualaikum bang!," ucapnya.

Saya membalas salam gadis manis, memakai baju berwarha hitam bersama seluar separas betis. Ketika itu saya dan Penerbit 999, Harris Farouk Alex sedang berjalan perlahan menuju ke gerai menjual masakan Thailand, berhampiran Balai Polis Chow Kit, Kuala Lumpur.

"Jom minum," pelawa saya.

Dia mengikut kami ke gerai berhampiran. Sebaik duduk, gadis berasal dari Rawang, Selangor itu  memperkenalkan dirinya sebagai 'Bela',  berusia 21 tahun.

Saya mempelawa Bela menjamu selera namun dia cuma memesan ais kosong. Perut sebu, itu alasan diberikan.

Bela mendakwa dihalau oleh ibunya dari rumah sekitar Disember 2011 dan kemudian dimasukkan ke Pusat Pemulihan Akhlak selama 6 bulan.


Tambah gadis itu, bayi lelaki dilahirkannya, kini berusia setahun setengah, di bawah jagaan keluarga angkat di Klang, Selangor.

Manakala bekas teman lelakinya berusia 30 tahun, penagih dadah tegar, meninggalkan Bela sebaik mengetahui dia mengandung.

Kata Bela, dia meninggalkan Pusat Pemulihan Akhlak pada bulan Mei lalu.


Harris kemudian mengemukakan soalan berikut dan dijawab petah oleh Bela.


Anak ke lapan daripada dua belas adik beradik itu mengaku menjadi penagih gam sejak hampir 6 tahun lalu.


Teman lelaki terkini Bela berbangsa Iban, berasal dari Sarawak, 23 tahun, insan berjaya mendesak Bela  membebaskan dirinya dari dibelenggu gam.


Bela mengaku menjadi play girl sejak menuntut di sekolah rendah lagi.  Berbekalkan wajah manis dan kepetahan berkata-kata, saya mempercayai kenyataan gadis itu. 


Dengarkan luahan Bela berhubung cita-citanya.


Lazimnya, sebilangan gadis dihalau keluarga dari rumah dan berasa tertekan,  memilih jalan mudah untuk mencari wang sekaligus meneruskan kehidupan. 

Bela tidak begitu. 


Ayah dan ibu Bela tinggal di lokasi berasingan sejak 10 tahun lalu.


Saya amat berharap Bela mampu meneruskan kehidupannya secara lebih sempurna di masa akan datang. 



sumber : sini








Friday, June 22, 2012

KISAH GADIS SIMPANAN DAN ANAK IKAN



Saya kira ramai wanita membela anak ikan.

Anak ikan emas, ikan kelisa atau ikan puyu dipelihara di dalam bekas kecil dihiasi pokok kecil tiruan atau di akuarium di sudut rumah. 

Pun begitu 'anak ikan' saya maksudkan, lelaki muda, berusia awal 20 an.

Lazimya, kita mendengar lelaki berusia, hidup mewah dan digelar 'Sudar Saddy' menyimpan gadis muda cantik untuk memuaskan nafsu berikutan isteri mereka sedang dimamah usia. Berikutan kemampuan, Sugar Daddy sudi menyewakan unit kondomininum mewah untuk gadis belaan tinggal dan berkunjung ke rumah itu sekali sekala untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Sebagai balasan, sebahagian atau sepenuh kos keperluan hidup gadis terbabit ditanggung oleh Sugar Daddy.

Teringat saya kepada antara kenyataan kenalan, gadis berusia 22 tahun ketika saya temui di Bangsar, Kuala Lumpur, kira-kira 12 tahun lalu, 'Zu'.

"Sugar Daddy saya sekarang ini bekerja di Afrika Selatan, balik ke sini, dua kali setahun. Sebulan, dia masukkan duit ke dalam akaun RM7,000," jelasnya ringkas.

Zu berasal dari Sungai Petani, Kedah dan sewaktu ditemui mempunyai teman lelaki berusia lebih kurang sama.

"Ada Sugar Daddy, ada boyfriend sekali?," soal saya.

"Sugar Daddy jarang berjumpa. Cuma beberapa kali saya terbang ke Afrika Selatan, bercuti di sana. Tetapi berbanding dia, rimas juga bila ada boyfriend macam ini, kuat jelas, kuat marah dan kekadang tangan dan kaki naik ke badan kita," Keluh Zu. 

Berbeza dengan nasib seorang lagi gadis simpanan Sugar Daddy, biarlah saya namakan dia, 'Amy'.  Dia saya temui secara kebetulan sewaktu kenderaan dinaiki gadis itu  terbabit dalam kemalangan jalanraya di Subang Jaya, Selangor.

Kejadian itu berlaku sekitar tahun 2006.

Amy mendakwa disimpan oleh pemimpin politik berusia awal 30 an dan dia sering dibawa bercuti di luar negara. Satu daripada gambar ditunjukkan kepada saya, Amy dan Sugar Daddy sedang mandi di kolam renang hotel terkemuka di luar negara.

"Untunglah," komen ringkas saya.

"Gambar itu dirakamkan kira-kira setahun lalu. Sekarang dia sibuk dengan kerjaya politik. Setiap bulan dia masih memasukkan duit ke dalam akaun bank saya tetapi tidak banyak, cukup untuk menampung kos kehidupan sebagai orang bujang," ujar Amy.

Ketika itu Amy berusia 23 tahun, kini saya anggarkan 31 tahun. Barangkali dia sudah mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihannya.

Rumusannya, jarang wanita disimpan lama oleh Sugar Daddy. Sebaik usia mereka meningkat dan bakal mencecah 30 an, lazimnya perhubungan dinoktahkan. Akibatnya, sebilangan bekas gadis simpanan terkapai-kapai mencari rezeki dan cuba berdikari untuk meneruskan kehidupan mereka. Kebergantungan sepenuhnya terhadap wang disumbangkan oleh Sugar Daddy mereka sebelum itu akhirnya memerangkap diri.

Kepada pembaca terlepas membaca entri kisah Marsha Si Perempuan Simpanan, klik di sini.

Barangkali gegendangan telinga sebilangan daripada kita sudah kematu mendengar kisah Sugar Daddy dan gadis simpanan mereka.

Jadi mari kita beralih menganalisa kisah anak ikan, belaan Sugar Mummy. 

Sugar Mummy lazimnya wanita berstatus janda atau isteri. Ramai berkata, mereka menjadi Sugar Mummy akibat diabaikan oleh suami, terlalu sibuk mengejar kekayaan sehingga meninggalkan isteri mereka kegersangan. Di waktu terluang, isteri bersama rakan seangkatan, mencari ruang dan peluang untuk ditemankan lelaki jauh lebih muda.

Anak ikan mungkin diperkenalkan kepada mereka.

Selalunya kita terdengar, anak ikan harus kacak dan bijak melayan kehendak wanita lebih berusia. Seks barangkali bukan soal utama. Layanan itu lebih kepada emosi, biarpun kaya, Sugar Mummy kesunyian dan berasa dikesampingankan oleh suami mereka. 

Sedikit belaian jiwa dan fizikal pastinya dihargai.

Berbanding gadis belaan Sugar Daddy, jarang benar kita mendengar luahan hati mahupun keluhan anak ikan. Barangkali, bekas teman wanita Sugar Daddy ditinggalkan selepas tubuh mereka puas digunakan untuk memuaskan nafsu lelaki. Manakala kesan fizikal tidak dapat dikesan langsung di tubuh anak ikan.  Mereka mampu hidup mewah, menutup sebelah mata  atau lampu bilik jika Sugar Mummy tua dilayan di ranjang. Andai kata perkhidmatan mereka tidak diperlukan lagi, mereka berlalu pergi dan berkebarangkalian mencari Sugar Mummy baru.

Pengalaman sebelum itu, boleh digunakan untuk menawarkan perkhidmatan lebih berkualiti kepada wanita gersang dan kesunyian.

Sila baca kisah anak ikan dan pasangannya berusia 20 tahun lebih tua, klik di sini.

Ternyata, sebilangan wanita berusia kekadang cenderung ingin dibelai lelaki lebih muda, mungkin seusia anak mereka sendiri. 


Anak ikan bertubuh sasa, suami pula barangkali berperut boroi justeru kurang menyelerakan. 

Jika anak ikan di luar sana ingin berkongsi cerita bersama pembaca blog ini, sila klik di sini dan hubungi saya. Seperti biasa, identiti diri akan dirahsiakan.



Sumber : sini







Thursday, June 21, 2012

MENAGIH SEKS LELAKI NIGERIA (18SX) SATU LAGI KISAH BENAR DICERITAKAN SECARA EKSKLUSIF


Saya berhubung dengan bekas kekasih lelaki Nigeria, 'Jun' melalui telefon awal hari ini. Dia kedengaran mesra dan saya percayai Jun meluahkan perasannya dari hati tulus ikhlas.

"Kita kongsikan kisah ini bersama masyarakat agar gadis tempatan di luar sana masih dibelenggu cengkaman lelaki Nigeria mampu tersedar akan kesilapan sedang mereka lakukan," ujar saya.

Jun bersetuju.

Saya berjanji dengan gadis dilahirkan dalam keluarga berada itu untuk tidak mendedahkan identitinya.

"Saya dan Charles berjumpa di laman sembang IMPU pada tahun 2010. Dari situ kami kemudian berhubung melalui Yahoo Messanger. Selepas itu, Charles beralih ke akaun Facebook. Saya lihat ketika itu dia  hanya mengguakan avatar kartun sahaja," ujar Jun.


Berikutan pujuk rayu dan godaan Charles, pada Oktober 2010, Jun membuat keputusan berkunjung ke apartment disewa oleh lelaki Nigeria terbabit di Puchong, Selangor.

"Waktu itu dia tinggal berseorangan, apartment disewa dengan harga RM1,250 sebulan. Charles memberitahu  saya, ayahnya sudah lama meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang berfungsi. Manakala ibunya seorang professor dan dia anak ke 3 dari 7 beradik. Saya pernah bertanya, mengapa dia datang ke Malaysia? Charles kemudian berkongsi kisah sedih ditempuhnya. Dia mendakwa keluarga ayahnya kaya namun selepas ayah meninggal dunia, dia dan adik beradik hanya dibesarkan oleh ibu mereka, diketepikan oleh keluarga ayah. Akibat hasad dengki, ahli keluarga ayah didakwa cuba menggunakan ilmu hitam, vodoo, terhadap dirinya. Berikutan itu Charles terpaksa melarikan diri. Katanya, dia datang ke Malaysia hanya berbekalkan wang tunai 200 US Dollar sahaja. Saya dilahirkan dalam keluarga senang dan memang sifat saya terlalu cepat berasa simpati apabila  mendengar kisah sedih diceritakan kepada saya," kata Jun.

Tambah Jun, dia pernah melihat gambar ibu Charles dan wanita itu juga pernah menghubungi anaknya beberapa kali ketika dia keluar bersama bekas kekasihnya itu.

"Kalau dia melarikan diri ke Malaysia, bagaimanakah Charles berpeluang menuntut di kolej di Puchong?," soal saya.

"Satu hari dia berjalan di Kota Raya, Kuala Lumpur dan mendakwa ada orang bertanya hendak belajar ke tidak? Dia kata ditipu semasa memasuki kolej itu. Dia terpaksa berjalan kaki dan menumpang di rumah kenalan. Cerita itu membuatkan saya berasa lebih simpati kerana mendengar kisah orang berada dalam kesusahan. I felt terrible for him. Charles memaklumkan saya, dia mengambil jurusan teknologi maklumat, IT. Pada awalnya, dia mendakwa berasal dari Bahamas tetapi di kad pelajar mencatatkan dia warga Nigeria," kata gadis itu lagi. 


Menurut Jun, Charles fasih berbahasa Inggeris tetapi jika bersama rakan, mereka berkomunikasi dalam bahasa ibunda, Ibbo.

"Antara ayat digunakan awak suka dengar?," tanya saya.

"Dia selalu menghantar pesanan ringkas di awal pagi, baby I will dream of you in my sleep tonight and hopefully that you will be safe out there, I love you always. Dia selalu cakap, no matter what, I am in this  with you forever. Dia juga berjanji untuk mengahwini saya," jelas gadis berusia 30 tahun itu.

"Berapakah lama selepas berjumpa, dia mula berjanji akan mengahwini awak?," soal saya lagi.

"Selepas seminggu sahaja. Dia tahu saya suka memasak dan dia memuji saya kerana pandai memasak. Charles juga selalu memasakkan makanan untuk saya ketika berada di rumah dia. Keluarga saya memang tidak mengetahui  perhubungan kami. Tetapi kemudian kakak saya terjumpa gambar kami berdua dan my sister called me stupid sebab dia kata lelaki Nigeria tidak boleh dipercayai, tujuan mereka hanya untuk menagih wang, kegembiraan dan seks," terangnya.

"Your sister is right," celah saya.

Menurut Jun, dia telah menyerahkan ribuan ringgit wang pinjaman pelajarannya kepada Charles. 

"Kalau kami keluar membeli barangan dapur bersama, dia tidak pernah memberitahu saya samada duit dibawa mencukupi atau tidak tetapi apabila sampai di kaunter juruwang, tiba-tiba duit tidak tidak mencukupi, dia akan meminta saya menjelaskan bayaran lebihan. Sampai sekarang, dia masih berhutang dengan saya lagi," kata Jun.

Ternyata beberapa entri saya nukilkan berhubung lelaki Nigeria di blog ini memberikan kesan kepada tindakan dan fikirannya.

"Bila saya terbaca entri di mazidulakmal.com dan berita di akhbar, saya mula bercerita hal ini dengan teman baik saya, berkebetulan ayah dia pegawai polis di Bukit Aman dan dia menyakinkan, saya telah ditipu. Saya mula tersedar. Saya membaca blog bermula Jun 2011 dan setiap kali membaca, saya berada di dalam state of denial. Kekadang ada masanya, Charles menyuruh saya menghantar dia kekelas dan pernah dia meminta saya  membawa dia ke kolej di Nilai, Negeri Sembilan, kononnya ke sana untuk mendapatkan khidmat nasihat dari pensyarah berhubung thesis dia. Bila saya bertanya dia mengambil degree, master atau Phd? Dia hanya berkata, IT," jelas Jun.

"Sepanjang perhubungan selama setahun dua bulan itu, pernah awak rasa dicurangi?"

Soalan itu saya kemukakan.

"Pernah saya menelefon dia, katanya tidak berada di rumah. Apabila saya berkunjung ke apartment dia sehari kemudian, saya terjumpa toilteries, baju perempuan, tuala tetapi bukan milik saya, rambut panjang sedangkan rambut saya pendek pada ketika itu. Bilik pula bersepah. Bila saya bertanya mengenai semua barangan ditemui, dia naik angin, meluru keluar bilik dan menumbuk barangan di dalam rumah. Tetapi dia tidak pernah memukul saya, selalunya hanya memberikan amaran supaya saya tidak mengambil tahu dengan siapa dia berkawan. Jangan sesekali mengusik barangan di rumah dia dan menyentuh telefon bimbit dia ," ujar Jun.

"Penah terjumpa kondom terpakai?," tanya saya.

"Banyak sangat, kondom tidak terpakai banyak dalam simpanan dia. Kondom terpakai di dalam bakul sampah," jelasnya.

Tambah Jun, apartment 3 bilik dihuni oleh Charles itu dilengkapi peti ais besar dan televisyen berskrin besar. 

"Menariknya, selepas lima bulan saya bertemu dia, masuk seorang rakan serumah dia, kononya pelajar tetapi berusia 39 tahun dan tidak pernah pergi ke kelas," kata Jun.

"Saya tidak mahu tahu tentang perincian kerana mungkin terlalu peribadi. Bilakah awak mula mengadakan hubungan seks dengan Charles?," tanya saya.

"Hujung November 2010. Kami berjumpa Oktober, mula bersembang di laman sosial pada pertengahan November dan kemudian perhubungan menjadi semakin serius," ujarnya.

"Adakah hubungan itu kerana duit atau seks? Seperkara lagi, adakah lelaki Nigeria ini memang pandai membelai wanita tempatan sebelum dan selepas seks?"

Berat rasanya untuk saya mengemukakan soalan itu.

"Dia tidak boleh mendapatkan duit banyak daripada saya. Fasal soalan kedua itu, yes! It is true.They really treat you like a queen. Sebelum mengadakan hubungan seks, Charles membelikan saya barangan, melayan dengan baik, membawa saya keluar makan dan kemudian memberikan urutan kaki. Bila dia membawa saya balik ke rumah, dia akan mengurut tubuh saya. Memandangkan saya tidak pernah dilayan sebegitu, seks menjadi satu ketagihan. Dia bijak menyentuh bahagian tubuh dan tahu titik kelemahan wanita sekaligus membuatkan saya berasa khayal. Kalau kita kata jangan, dia akan berhenti dan kemudian memujuk kembali sehingga dia berjaya. Untuk pertama kali, saya tahu, apa saya lakukan salah tetapi dia membuat saya berasa selasa. Baby, this is a way how to experiance life and normal for adults and you are a woman now," terang Jun tanpa ragu.

"Itu kali pertama awak mengadakan hubungan seks?," soal saya.

"Ya," balasnya ringkas.

Tambah Jun, bekas teman lelakinya itu peminum arak.


"Apabila saya katakan kepada dia, saya tidak minum (arak), untuk mengambil hati saya, dia mengeluarkan semua tin alkohol di dalam peti ais dan buang. Dia kemudian berkata, I don't drink anymore because of you baby," katanya.

"Awak memang berasa yakin Charles mempunyai teman wanita lain?," soal saya.

"Gadis Cina dan dia juga berjumpa dengan gadis lain di luar. Saya percayi gadis Cina itu sering datang ke rumah Charles terutama pada hujung minggu. Dia juga menjalinkan dengan gadis orang asli berasal dari Lembah Pongsun, Hulu Langat, Selangor. Umur dia 29 tahun dan saya yakin dia bekerja. Menurut Charles bil internet Maxis dia lebih murah kalau menggunakan nama rakyat tempatan, nama gadis orang asli itu. Dia pada awalnya mendakwa, gadis itu teman wanita rakan lelaki dia," jelasnya.

Charles mula memasuki negara ini pada tahun 2005 dan terkini memaklumkan Jun, dia tidak mempunyai wang mencukupi untuk membiayai kos pulang semula ke negara asal. Selama kira-kira 7 tahun berada di Malaysia dia mendakwa menyara kehidupan dengan menjual barangan kenderaan.

"Dia pernah beberapa kali bertanya kepada saya, bagaimanakah cara untuk ke Pulau Pinang dan kemudian menaiki bas ke utara," celah Jun.

Tambah Jun, gadis Cina menjadi teman lelaki Nigeria lebih kerap ditemuinya.

"Kalau lelaki Nigeria keluar dengan wanita tempatan, tujuan mereka hanya menagih wang dan seks. Sewaktu bertemu dengan rakan Charles, gadis tempatan, majoriti mereka berusia di antara 25 dan 42 tahun, lewat berkahwin atau janda, ramai berbangsa Cina tetapi saya dilarang untuk bertemu  dengan mereka. Jika menghadirkan diri ke keraian seperti sambutan hari ulang tahun kelahiran rakan dia, saya tidak begitu bergaul," jelas Jun.

Jun dikatakn pernah dijemput oleh Charles untuk merayakan Krismas di Nigeria tetapi ditolaknya. Perbualan kami kemudian dirumuskan dengan kenyataan berikut.

"Lelaki Nigeria sebenarnya memburu gadis tempatan berkerjaya, mesti memiliki kenderaan dan tidak bergantung hidup kepada sesiapa. Menurut mereka, wanita berusia lebih dewasa dan tidak berperangai kebudak-budakkan. Jelasnya, lelaki Nigeria berupaya membuatkan kita berasa amat dihargai. Mereka tahu bila waktu tepat untuk menghubungi kita atau tidak. Sentiasa berada di sisi, apabila kita dilanda keresahan dan amat mengambil berat tentang diri kita, caring"

HEBAHKAN

Sumber : sini







Wednesday, June 13, 2012

ISTERI MENJADI GRO AKIBAT SUAMI ... (Temubual Eksklusif)


Gambar contoh


Dua hari lalu, saya dihubungi oleh wanita tidak dikenali melalui private message Facebook dan meminta saya menelefonnya. 

Menurut wanita itu, dia kepingin berkongsi secebis kisah kehidupannya bersama saya.

"Abang tolong ceritakan kisah hidup saya di blog, semoga menjadi pengajaran kepada semua lelaki dan perempuan di negara kita ini," ujarnya.

Mendengarkan suaranya, saya mampu menjangka usia wanita itu masih muda. Sejak dari awal  perbualan, dia menggelarkan dirinya 'Tasha' dan mendakwa berasal dari Selangor.

"Tasha berkahwin sewaktu berusia 17 tahun. Ketika itu, lelaki kemudian menjadi suami saya tinggal serumah dengan teman wanitanya di Pulau Pinang. Setelah lama tinggal serumah, dia tidak berpuas hati apabila  mengetahui teman wanitanya itu tidak boleh mengandung. Kasihan melihat dia, saya kemudian mengandungkan anak dia ...," ujar Tasha.

"Maksudnya masa itu, Tasha belum bernikah lagi dengan lelaki itu?," soal saya.

"Belum. Setelah mengandung sebulan, kami kemudian bernikah. Sebelum berkahwin, saya bekerja di kilang, dia pula bertugas sebagai penjual tiket bas," katanya.

Usia suaminya pada ketika itu, 31 tahun.

"Sekejap! Kalau Tasha tidak kisah menjawab, saya ingin bertanya. Sebelum 'membuat anak' dengan dia, Tasha masih dara ke?," soal saya.

"Ya," balas wanita berusia 29 tahun itu.

"Ibu dan ayah Tasha bercerai?," tanya saya lagi.

"Ketika saya berusia 12 tahun," balasnya spontan.

Saya dapat menjangkakan jawaban itu berdasarkan pengalaman berurusan dengan pelbagai kes membabitkan gadis remaja terjebak dengan masalah sosial sebelum ini.

Majoriti mereka dibesarkan dalam keluarga bermasalah akibat ibu dan bapa berpisah ketika mereka masih kecil.

"Apakah terjadi selepas itu?," soal saya.

"Selepas bernikah, kami kemudian berpindah ke Kuala Lumpur. Saya melahirkan anak sulung kami, lelaki. Saya menjadi suri rumah dan melahir 3 lagi anak. Suami saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan purata RM1,500 sebulan, cukup untuk membiayai kehidupan kami sekeluarga. Malangnya bermula pada tahun 2009, rumah tangga kami mula bergolak dan goyah. Suami terjebak dengan perjudian. Abang tahukan? Judi kuda menggunakan komputer," terang Tasha.

"Bagaimanakah awak tahu dia terjebak dengan perjudian?," soal saya lagi.

"Bang, setiap hujung bulan wang gaji dia habiskan di kedai mesin judi. Akibat ketagihan berjudi, berulang kali, hendak membeli susu anak pun dia tiada wang. Anak masih kecil menangis kelaparan. Banyak kali airmata saya menitis melihat keadaan anak kami. Saya cuba nasihatkan dia supaya berhenti berjudi tetapi dia tetap berdegil kononnya untuk ingin meraih wang secara mudah. Premis judi pula bersepah di sekitar rumah kami. Kalau boleh dia hendak duduk 24 jam di situ, berjudi bersama kawan-kawan. Kekadang saya berasa amat hairan, tidakkah pihak polis tahu mengenai kewujudan premis menawarkan perjudian itu semua?," soal Tasha.

Saya mendiamkan diri sebelum bersuara.

"Saya percaya pihak polis melaksanakan tugas membanteras premis mesin judi berkomputer. Namun biasanya setelah diserbu dan mesin judi dirampas, dalam tempoh beberapa hari sahaja premis sama beroperasi semula. Hemat saya, polis harus berkerjasama dengan syarikat pembekal air dan Tenaga Nasional Berhad untuk memotong bekalan air dan elektrik di premis diserbu berulang kali. Malangnya, tidak semua pihak berkuasa bertindak sebegitu. Saya yakin, jika kemudahan asas itu dipotong, pasti kegiatan premis terbabit, lumpuh secara serta merta," jelas saya.

"Saya kemudian membawa semua anak keluar dari rumah kerana sudah tidak mampu bertahan lagi dengan sikap buruk suami. Kini, waktu saya bekerja, semua anak dijaga oleh jiran saya, wanita Indonesia. Saya memberikan dia upah tetapi bukanlah banyak," ujar ibu itu.

"Tasha bekerja di mana?"

Soalan itu saya lontarkan dengan tenang.

"Saya baru sahaja seminggu bekerja sebagai GRO bang. Masuk kerja sekitar jam 5 petang dan balik ke rumah pukul 2 pagi," jelasnya.

Saya tidak terkejut.

"Mengapakah tidak memilih kerjaya lain?," tanya saya.

"Bukan mudah untuk menyuap mulut empat anak di Kuala Lumpur. Kalau setakat bekerja di pasaraya atau di kilang dengan gaji di bawah RM1,500, tidak cukup bang. Hendak membayar sewa rumah, tambang pergi dan balik kerja, menampung perbelanjaan dapur dan belanja sekolah anak. Ayah mereka langsung tidak menghulurkan nafkah. Bekerja sebagai GRO, pendapatan agak lumayan dan dibayar secara tunai, kerja pula mudah dan saya enjoy. Barangkali orang lain melihat kerja GRO ini terlalu hina tetapi bagi orang tidak berpelajaran tinggi seperti saya, harus membesarkan empat anak, adakah pilihan lain untuk saya?," soalnya.

"Keluarga tahu Tasha berkerja sebagai GRO?," tanya saya.

"Tidak. Saya memberitahu mereka, saya bertugas di hotel," balas Tasha spontan.

"Bekerja di pusat karaoke, banyak juga perkara pelik berlaku. Ada seorang pelanggan, dia tidak menyanyi dan menari. Dia hanya duduk sahaja dan memaksa saya duduk juga. Hendak pergi kencing ke bilik air pun dia tidak benarkan. Untuk pengetahuan abang, sebelum berkahwin, sesekali saya pernah minum arak dan kemudian berhenti. Sekarang, untuk melayan pelanggan, saya minum kembali," katanya.

"Kalau pelanggan ingin membayar Tasha untuk mengadakan hubungan seks, bagaimana?," tanya saya.

"Saya tolak, masih ada had ketika melayan pelanggan," ujarnya. 

"Apakah perasaan Tasha setiap kali melihat empat anak tidur sewaktu balik ke rumah pada awal pagi?," soal saya.

"Sedih bang. Sedih kerana terpaksa membesarkan anak menggunakan wang hasil bekerja sebagai GRO. Tanpa sijil, diploma atau ijazah, majikan manakah sudi mengambil saya bekerja sekaligus membayar gaji mencukupi untuk saya menampung perbelanjaan saya dan anak?," tanya Tasha.

"Jika saya memiliki syarikat besar dan berkebetulan mengetahui kisah sebenar hidup Tasha, InsyaAllah saya sudi membantu atas dasar kemanusiaan," kata saya.

Itu kenyataan ikhlas tetapi sekadar impian sahaja, setakat ini.

"Ertinya semua pelanggan Tasha tidak mengetahui mereka menyentuh dan memeluk isteri orang?"

Soalan itu terlintas di benak fikiran lalu saya kemukakan.

"Hanya abang sahaja tahu," balas Tasha ringkas.



sumber : sini








Wednesday, June 6, 2012

PENGAKUAN MARSHA SI PEREMPUAN SIMPANAN (18SX)



Petang semalam, saya dihubungi melalui telefon oleh gadis memperkenalkan dirinya sebagai Marsha, 32 tahun.

"Sejak berusia 25 tahun, saya berkenalan dengan ahli perniagaan, 20 tahun lebih tua berbanding usia saya. Sejak awal perkenalan, saya tahu dia telah berkahwin dan mempunyai dua anak. Dia memang penyayang dan selalu mengambil tahu mengenai diri saya. Beberapa bulan setelah bertemu, dia membelikan saya kereta dan membayar sewa rumah saya duduki," ujar Marsha.

"Berapa bayaran sewa rumah?," soal saya.

"Lebih kurang RM600 sebulan," balasnya.

Tambah Marsha lagi, biarpun sudah berkeluarga, lelaki terbabit sering menghantarnya pergi ke pejabat pada waktu pagi dan menjemputnya ketika pulang.

"Hampir setiap hari, kami makan bersama. Sesekali, jika kami terserempak dengan kawan dia, saya diperkenallkan sebagai 'kawan'. Saya tidak pernah berasa berkecil hati kerana amat memahami keadaan dia. Dia sudah berumah tangga, nanti bimbang jika kisah hubungan kami sampai ke telinga isterinya," celah Marsha.

"Berapa lamakah perhubungan itu?,' tanya saya.

"Kira-kira 7 tahun, sehingga ke hari ini," balasnya spontan.

"Jadi apakah sebenarnya masalah awak?," soal saya.

"Terus-terang, beberapa kali saya cuba melarikan diri daripada dia tetapi perasaan sayang itu semakin menebal. Pernah saya tidak mengangkat panggilan telefon dia selama dua minggu tetapi akhirnya saya tewas dan menjawab juga. Dia tidak pandai marah, dalam erti kata lain, penyabar. Apabila panggilan telefon tidak berjawab, dia berulang kali menghantar pesanan ringkas, 'You di mana?', 'Apa terjadi?, sebab dia tahu kami tidak bergaduh. Seperkara lagi, dia tidak pernah cemburu tetapi tidak tahulah sekiranya perasaan itu disembunyikan. Contohnya, kalau hendak keluar dan berjumpa dengan kawan lelaki, saya hanya memaklumkan dia," jelasnya.

"Status awak, perempuan simpanan?"

"Entahlah! Kalau dia bujang dan mempunyai ramai teman wanita, selain saya, saya dianggap perempuan simpanan juga ke?," soal Marsha.

Sukar saya menjawab soalan dilontarkan kerana pada hemat saya, 'perempuan simpanan' lazimnya wanita mempunyai hubungan sulit dengan suami orang dan dia dibayar oleh lelaki terbabit.

"Dia memberikan wang tunai bulanan kepada awak?"

Soalan itu saya kemukakan.

"Bagi kalau saya minta. Untuk pengetahuan encik Mazidul, dia bukanlah berstatus 'Datuk' tetapi hasil perniagaan membekalkan barangan keperluan pejabat dijalankan mencukupi untuk dia menampung kehidupandengan selesa," terang gadis itu lagi.

"Adakah dia kekasih pertama awak?," tanya saya.

"Ya. Atas sifat ingin tahu, saya juga mengadakan hubungan seks pertama kali sekaligus menyerahkan dara saya pada usia 26 tahun. Kejadian itu berlaku di rumah sewa milik dia. Kini perkara itu sudah menjadi rutin, purata 4 kali sebulan kami akan bersama di apartment saya huni. Pada awalnya saya aktif sewaktu mengadakan hubungan seks, maklumlah usia ketika itu lebih muda dan pastinya bertenaga. Sekarang berbeza, saya mahu dia melayan saya bak puteri raja di katil," ujarnya.

"Adakah awak pernah mencurangi perhubungan sejak mengenali 'Sugar daddy' itu?"

"Secara jujut pernah beberapa kali namun nafsu saya tidak pernah terbuka, saya menjadi seperti batang kayu. Mungkin saya mampu kembali normal jika ditakdirkan bertemu dengan lelaki lebih baik berbanding dia," balas Marsha.

Marsha meminta saya tidak mendedahkan lokasi dia tinggal dan identiti dirinya.

"Fikiran saya runsing, terasa diri ini bodoh kerana tidak mengetahui hala tuju perhubungan ini. Sejak mengenali  dia, empat lelaki lain cuba mendekati saya. Saya berterus-terang kepada mereka. Saya katakan, saya bukan perempuan baik dan tidak sajak untuk mereka. Sebilangan lelaki itu menerima kenyataan secara terbuka dan kemudian mengundurkan diri, ada juga masih menunggu. Kusut bila memikirkan, kalau saya tua kelak tanpa suami dan anak, siapakah bakal menjaga saya? Saya dapat menjangka, majoriti pembaca blog encik Mazidul akan melabelkan saya perempuan bodoh tetapi ketika ini saya memang sudah tidak mampu untuk melarikan diri," katanya.

Perbualan terhenti buat seketika. Terdengar suara tangisan Marsha di hujung talian, dia teresak-esak.

"Mengapakah awak perlu menangis? Sedangkan keputusan  samada untuk meneruskan perhubungan itu atau sebaliknya berada di tangan awak?," soal saya.

"Itulah. Ramai orang tidak berupaya memahami jiwa saya. Dia terlalu menyayangi dan ...," celahnya.

"Oh! Barangkali dia bersikap seperti lelaki Nigeria, menitipkan ayat manis dan kerap dianggap caringoleh gadis tempatan?," usik saya.

Dia tertawa. 

Marsha mengaku, seorang daripada pelayar blog ini dan pernah membaca entri mengenai hubungan lelaki warga Nigeria dan wanita tempatan.

"Biarpun sudah berusia. lebih 50 tahun, dia tidak pernah gagal menghubungi saya setiap hari. Kalau tidak pada waktu pagi, dia menelefon saya pada waktu petang. Saya dapat merasakan, isteri dia mengetahui perhubungan kami tetapi mungkin enggan berbuat bising. Jika saya berpindah ke lokasi jauh dari tempat saya tinggal sekarang, mungkinkah saya berupaya mengelak daripada terus bersama dia?," soal gadis itu.

"Alah! Sejauh manapun awak melarikan diri, andai hati dan perasaan telah 'diikat', rasanya awak akan tetap kembali kepada dia," celah saya.

"Betul! Amat sukar untuk saya melupakan dia," keluhnya bersuara perlahan.

"Apapun, itu keputusan awak sendiri," balas saya.

Sebelum ini saya pernah memaparkan entri kisah benar berhubung perempuan simpanan, Sofea, klik di sini.

Lazimnya jika perempuan simpanan bergantung hidup sepenuhnya dengan bantuan ekonomi dihulurkan oleh 'Sugar daddy', sebaik ditinggalkan, wanita terbabit akan kehilangan arah tuju dan kurang pandai berdikari untuk meneruskan kehidupan.

Barangkali kerana sebelum itu, majoriti mereka hanya perlu mengangkang untuk memperoleh kemewahan dikecapi.



sumber : sini