Wednesday, June 13, 2012

ISTERI MENJADI GRO AKIBAT SUAMI ... (Temubual Eksklusif)


Gambar contoh


Dua hari lalu, saya dihubungi oleh wanita tidak dikenali melalui private message Facebook dan meminta saya menelefonnya. 

Menurut wanita itu, dia kepingin berkongsi secebis kisah kehidupannya bersama saya.

"Abang tolong ceritakan kisah hidup saya di blog, semoga menjadi pengajaran kepada semua lelaki dan perempuan di negara kita ini," ujarnya.

Mendengarkan suaranya, saya mampu menjangka usia wanita itu masih muda. Sejak dari awal  perbualan, dia menggelarkan dirinya 'Tasha' dan mendakwa berasal dari Selangor.

"Tasha berkahwin sewaktu berusia 17 tahun. Ketika itu, lelaki kemudian menjadi suami saya tinggal serumah dengan teman wanitanya di Pulau Pinang. Setelah lama tinggal serumah, dia tidak berpuas hati apabila  mengetahui teman wanitanya itu tidak boleh mengandung. Kasihan melihat dia, saya kemudian mengandungkan anak dia ...," ujar Tasha.

"Maksudnya masa itu, Tasha belum bernikah lagi dengan lelaki itu?," soal saya.

"Belum. Setelah mengandung sebulan, kami kemudian bernikah. Sebelum berkahwin, saya bekerja di kilang, dia pula bertugas sebagai penjual tiket bas," katanya.

Usia suaminya pada ketika itu, 31 tahun.

"Sekejap! Kalau Tasha tidak kisah menjawab, saya ingin bertanya. Sebelum 'membuat anak' dengan dia, Tasha masih dara ke?," soal saya.

"Ya," balas wanita berusia 29 tahun itu.

"Ibu dan ayah Tasha bercerai?," tanya saya lagi.

"Ketika saya berusia 12 tahun," balasnya spontan.

Saya dapat menjangkakan jawaban itu berdasarkan pengalaman berurusan dengan pelbagai kes membabitkan gadis remaja terjebak dengan masalah sosial sebelum ini.

Majoriti mereka dibesarkan dalam keluarga bermasalah akibat ibu dan bapa berpisah ketika mereka masih kecil.

"Apakah terjadi selepas itu?," soal saya.

"Selepas bernikah, kami kemudian berpindah ke Kuala Lumpur. Saya melahirkan anak sulung kami, lelaki. Saya menjadi suri rumah dan melahir 3 lagi anak. Suami saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan purata RM1,500 sebulan, cukup untuk membiayai kehidupan kami sekeluarga. Malangnya bermula pada tahun 2009, rumah tangga kami mula bergolak dan goyah. Suami terjebak dengan perjudian. Abang tahukan? Judi kuda menggunakan komputer," terang Tasha.

"Bagaimanakah awak tahu dia terjebak dengan perjudian?," soal saya lagi.

"Bang, setiap hujung bulan wang gaji dia habiskan di kedai mesin judi. Akibat ketagihan berjudi, berulang kali, hendak membeli susu anak pun dia tiada wang. Anak masih kecil menangis kelaparan. Banyak kali airmata saya menitis melihat keadaan anak kami. Saya cuba nasihatkan dia supaya berhenti berjudi tetapi dia tetap berdegil kononnya untuk ingin meraih wang secara mudah. Premis judi pula bersepah di sekitar rumah kami. Kalau boleh dia hendak duduk 24 jam di situ, berjudi bersama kawan-kawan. Kekadang saya berasa amat hairan, tidakkah pihak polis tahu mengenai kewujudan premis menawarkan perjudian itu semua?," soal Tasha.

Saya mendiamkan diri sebelum bersuara.

"Saya percaya pihak polis melaksanakan tugas membanteras premis mesin judi berkomputer. Namun biasanya setelah diserbu dan mesin judi dirampas, dalam tempoh beberapa hari sahaja premis sama beroperasi semula. Hemat saya, polis harus berkerjasama dengan syarikat pembekal air dan Tenaga Nasional Berhad untuk memotong bekalan air dan elektrik di premis diserbu berulang kali. Malangnya, tidak semua pihak berkuasa bertindak sebegitu. Saya yakin, jika kemudahan asas itu dipotong, pasti kegiatan premis terbabit, lumpuh secara serta merta," jelas saya.

"Saya kemudian membawa semua anak keluar dari rumah kerana sudah tidak mampu bertahan lagi dengan sikap buruk suami. Kini, waktu saya bekerja, semua anak dijaga oleh jiran saya, wanita Indonesia. Saya memberikan dia upah tetapi bukanlah banyak," ujar ibu itu.

"Tasha bekerja di mana?"

Soalan itu saya lontarkan dengan tenang.

"Saya baru sahaja seminggu bekerja sebagai GRO bang. Masuk kerja sekitar jam 5 petang dan balik ke rumah pukul 2 pagi," jelasnya.

Saya tidak terkejut.

"Mengapakah tidak memilih kerjaya lain?," tanya saya.

"Bukan mudah untuk menyuap mulut empat anak di Kuala Lumpur. Kalau setakat bekerja di pasaraya atau di kilang dengan gaji di bawah RM1,500, tidak cukup bang. Hendak membayar sewa rumah, tambang pergi dan balik kerja, menampung perbelanjaan dapur dan belanja sekolah anak. Ayah mereka langsung tidak menghulurkan nafkah. Bekerja sebagai GRO, pendapatan agak lumayan dan dibayar secara tunai, kerja pula mudah dan saya enjoy. Barangkali orang lain melihat kerja GRO ini terlalu hina tetapi bagi orang tidak berpelajaran tinggi seperti saya, harus membesarkan empat anak, adakah pilihan lain untuk saya?," soalnya.

"Keluarga tahu Tasha berkerja sebagai GRO?," tanya saya.

"Tidak. Saya memberitahu mereka, saya bertugas di hotel," balas Tasha spontan.

"Bekerja di pusat karaoke, banyak juga perkara pelik berlaku. Ada seorang pelanggan, dia tidak menyanyi dan menari. Dia hanya duduk sahaja dan memaksa saya duduk juga. Hendak pergi kencing ke bilik air pun dia tidak benarkan. Untuk pengetahuan abang, sebelum berkahwin, sesekali saya pernah minum arak dan kemudian berhenti. Sekarang, untuk melayan pelanggan, saya minum kembali," katanya.

"Kalau pelanggan ingin membayar Tasha untuk mengadakan hubungan seks, bagaimana?," tanya saya.

"Saya tolak, masih ada had ketika melayan pelanggan," ujarnya. 

"Apakah perasaan Tasha setiap kali melihat empat anak tidur sewaktu balik ke rumah pada awal pagi?," soal saya.

"Sedih bang. Sedih kerana terpaksa membesarkan anak menggunakan wang hasil bekerja sebagai GRO. Tanpa sijil, diploma atau ijazah, majikan manakah sudi mengambil saya bekerja sekaligus membayar gaji mencukupi untuk saya menampung perbelanjaan saya dan anak?," tanya Tasha.

"Jika saya memiliki syarikat besar dan berkebetulan mengetahui kisah sebenar hidup Tasha, InsyaAllah saya sudi membantu atas dasar kemanusiaan," kata saya.

Itu kenyataan ikhlas tetapi sekadar impian sahaja, setakat ini.

"Ertinya semua pelanggan Tasha tidak mengetahui mereka menyentuh dan memeluk isteri orang?"

Soalan itu terlintas di benak fikiran lalu saya kemukakan.

"Hanya abang sahaja tahu," balas Tasha ringkas.



sumber : sini








3 comments:

Anonymous said...

dunia skang sebab duit mcm2 boleh jadi

Nasz said...

semoga Tasha akan kembali ke pangkal jalan suatu hari nanti demi anak-anaknya.

From,

Nasz

MOHD NASER.COM

JQ said...

Duit memang pemusnah bangsa. Kita doakanlah...