Muzium pembunuhan Tuol Sleng terletak di Phnom Penh, Kemboja. Asalnya, muzium ini ialah sebuah sekolah menengah, yang ditukar menjadi penjara sewaktu komunis bertakhta di Kemboja pada tahun 1975-1979.
Aspirasi Khmer Rouge di bawah pimpinan mendiang Pol Pot ialah untuk menubuhkan negara komunis, dan empat bulan selepas Khmer Rouge memenangi perang sivil pada tahun 1975, penjara Tuol Sleng digunakan untuk memenjara, menyeksa dan menjalankan hukuman bunuh ke atas rakyat Kemboja dan rakyat asing yang dianggap bekerjasama dengan negara asing untuk menakluk Kemboja.
Dari tahun 1975 – 1979, dianggarkan 17,000 orang telah ditahan di penjara Tuol Sleng (juga dikenali sebagai S-21). Ada yang menganggarkan jumlahnya ialah 20,000 orang, tetapi jumlah sebenar tidak diketahui. Dari 17,000 orang ini, hanya 7 orang diketahui terselamat, dan hingga ke hari ini, hanya tiga orang dari angka yang terselamat ini masih hidup.




Tanah di sekeliling penjara Tuol Sleng menjadi sesak dan tidak lagi dapat menampung mayat-mayat, jadi pihak penjara kemudiannya membawa banduan-banduan ke padang penghapusan Choeung Ek, di mana banduan tadi dipukul dengan besi atau senjata beramai-ramai, kemudiannya mayat mereka ditimbus di situ.


Namun, hanya bekas pengurus penjara Tuol Sleng iaitu Comrade Duch, telah ditangkap dan dipenjarakan atas jenayah perang. Itu pun, beliau telah melepaskan diri selama berbelas tahun sebelum tampil menyerah kepada kerajaan Kemboja sekitar tahun 1995, mendakwa telah insaf dan mahu bertanggungjawab atas kekejaman yang dilakukannya. Staf-staf lain, serta pemimpin Khmer yang mengarahkan kekejaman dilakukan tidak berjaya ditangkap dan dihukum atas jenayah mereka, termasuk Pol Pot. Duch kini sedang menjalani hukuman penjara dan mungkin tidak akan keluar sehingga akhir hayatnya.






No comments:
Post a Comment