Friday, May 4, 2012

Situasi

Assalamualaikum,


*** Jika hatimu ikhlas untuk memahami, sila teruskan pembacaan. Jika tidak, seeloknya beralih ke tempat lain. Terima kasih.



Kali ni aku nak menulis dalam bahasa Melayu sebab rasanya dah lama tak tulis dalam bahasa ibundaku ini. Lagipun dalam keadaan aku nak bercerita dan berkongsi ini, lebih baik rasanya agar perubahan bahasa digunakan kerana aku mahu memaksimumkan penggunaan bahasa ini. Sekian. =)


Banyak benda yang ingin dicerita namun semuanya tersekat secara tiba-tiba. Banyak perkara berlaku perlu dibicarakan namun masih terhenti. Terlalu lama masa diambil untuk meluahkan semuanya namun ada saja halangan agar ianya diberikan lebih banyak masa. 


Ya, mungkin ada yang tidak mengerti maksud penulisan aku kali ini. Memang sengaja aku biarkan ia penuh dengan tanda tanya agar ianya penuh 1000 erti. Tiada kata menconteng arang malah tiada nama walau huruf digunakan untuk digambarkan hamba-Nya itu. Hamba dimaksudkan tidak seharusnya datang individu atau berkumpulan. Sekadar bayangan sudah cukup untuk meluahkan apa yang selama ini perlu diluahkan. Andai kata ada yang terasa, maaf dipinta namun jika luahan ini mampu merubah anda semua menjadi lebih baik, Alhamdulillah. Jika tidak, Nauzubillah. 


Bila masa berputar dan terlalu banyak perkara berlaku disebabkan sesuatu yang telah menjadikan mereka lupa akan dirinya atau tidak jelas mana asal usulnya, janganlah menunding ke mana. Tiada yang salah, tiada yang betul. Yang wujud ketika ini hanya sama-sama salah dan sama-sama betul. Itu pendirian aku. Ternyata mungkin berbeza bagi yang lain. Wallahualam.


Aku sedar siapa diriku sebelum aku menulis entry ini. Aku hanya seorang yang biasa lagi hina di dunia ini. Terlalu banyak salah dan dosaku dari hari pertama aku bernafas ke dunia ini hingga ke hari ini. Tiada satu hari pun aku tidak pernah membuat salah dan dosa. Aku juga tidak memerlukan sesiapa untuk memberitahu apa dosaku kerana ianya urusan aku dengan-Nya. 


Lihatlah dengan jelas keadaan sekeliling. Letakkan keadaanmu itu di setiap posisi agar perspektifmu itu akan berbeza. Jangan lupa jauhkan perasaan Aku-tahu-semua atau Aku-faham-semua itu. Cuba berada di situasi berbeza dengan perasaan natural. Lupakan ego mu itu. Tidak semestinya kau tahu. Tidak seharusnya kau memahami itu semua. Tidak. Tak siapa akan memarahimu jika kau masih melakukan perkara yang benar. Tapi bagaimana kau tahu ianya benar? Sekadar menggunakan akal dan minda mu sahaja atau menggunakan amarahmu itu? Astargfirullah al'azim.


Aku tidak bagus. Aku lemah. Aku hina. Aku tidak cerdik. Namun aku sehingga hari ini masih cuba berada di keadaan itu. Keadaan untuk menilai sesuatu yang aku sendiri tidak pasti. Aku faham jika tak semua yang  membaca penulisanku ini mampu beroleh perspektif itu tetapi tidak salahnya jika kita bertanya dan merendahkan diri untuk menerima teguran itu. Jangan kau lepaskan amarahmu kerana kau fikir kau berada di jalan yang benar. Jika kau benar bagaimana ada yang berkata-kata? Cemburu? Benarkan begitu? Jangan kau ia kan jika ianya hanya pada pemahaman dan pandanganmu sahaja. 


Jika ada yang menegur, ucapkan terima kasih. Cuba menerima dan melihat apa silap yang kau sudah lakukan. Jangan pula kau membandingkan kesilapan kau itu dengan mereka yang tidak sepatutnya kau bandingkan. Lakukanlah perbandingan dengan mereka yang terbaik agar kau jadi yang terbaik. Pilihlah dan lihatlah mereka supaya kau terus berada di landasan yang benar.


Aku tidak memaksa. Jika aku memaksa tiada kata yang tulus aku zahirkan di sini. Ikhlas dari hati aku mahu semuanya menjadi lebih baik. Setiap manusia dilahirkan untuk menjadi sesuatu. Berbeza 'sesuatu' tak bermakna tiada kelebihan. Berbeza lebih baik agar ianya berseri. Unik dan tersendiri. Apa pun, harus aku ucapkan bahawa semua ini luahan dan pemahaman aku. Ya, aku sedar tiada petikan surah atau hadis mampu ku beri. Aku tidak mahu hipokrit. Aku sedar kekurangan ku dalam agama tapi tiada salahnya jika aku berbicara agar semuanya kembali sempurna. Sekali lagi, aku salah. Silap aku kerana mencari kesempurnaan. Tiada yang sempurna di dunia ini. Mungkin aku sepatutnya memilih perkataan bersatu. Mungkin.


Kau, kau dan kau. Semunya disayangi. Cuma ada yang lebih, ada yang kurang. Semuanya masih disayangi. Jika tidak, mana mungkin akan dibesarkan dan diberi pendidikan yang sebaik boleh? Bertungkus-lumus membesarkan kau? Semua disayangi. Aku tak perlu membuatkan kau percaya kerana kau sendiri perlu percaya. Bagaimana? Baca dan fahamkan semula cara yang aku telah jelaskan tadi (di atas).


Berbeza kasih hanya pada situasi. Ya, situasi itu sendiri membezakan kasihnya. Jangan kau pertikaikan kerana ianya tidak dapat dilihat dengan mata kasar mu tapi buka dan rasainya dengan hati. Buka hatimu bukan untuk dirimu sahaja namun bukalah untuk mereka yang lain. Itu caraku. Aku dapat rasainya. Walau sekelumit kasih, masih dapatku rasai. Ya, kadang kala kasih itu cukup sedikit jika dibandingkan dengan yang lain sehingga aku terasa tersisih. Maaf sekali lagi. Aku perlu percaya dengan wujudnya kasih itu, ikatan tidak akan putus. Aku percaya. Insyallah.


Maaf mungkin sukar diterima namun siapa kau untuk tidak memaafkan? Malah Nabi Muhammad S.A.W. juga memaafkan umat. Ya, aku tahu kau bukan nabi dan aku juga tidak memaksa kau menjadi hipokrit menjadi baik. Tidak. Namun tidak salah jika kita mencuba mengaplikasikan sifat nabi kita. Supaya lama kelamaan ianya menjadi sifat atau peribadi kita juga. Cubalah.


Situasi ini membuatkan aku menjadi neutral. Aku bercerita rambang. Secara am nya tiada nama walau kata aku gunakan untuk memetik sesiapa menjadi mangsa. Jauh sekali untuk disalahkan. Jika kau baca, cari dan fahamilah 1000 erti di dalam penulisanku ini. Tiada yang salah, tiada yang betul. Sama-sama salah sama-sama betul. Jangan disimpan dendam kerana ianya hanya merumitkan keadaan dan membusukkan hati kita. 


Sekali lagi aku mahu menegaskan. Aku bukan sesiapa. Jangan kau serang aku jika kau terasa. Sudah aku katakan penulisan ini bebas. Rambang dan penuh erti. Sesiapa juga boleh mendalami dan mengambil ikhtibar. Aku cuma berharap kita semua boleh berubah menjadi lebih baik. Ya, aku maksudkan kau, kau serta kau. Tiada nama sekadar hamba-Nya yang ikhlas sudi memahami maksud tersirat dan tersurat. Tiada paksaan diberikan cuma pengertian diharapkan.


Aku jua salah. Aku cuba berubah namun aku seringkali tergandah. Aku masih cuba dan cuba. Insyallah. Jika bukan sekarang mungkin suatu hari nanti. Kita perlu berubah. Mungkin perkataan terbaik adalah berhijrah. Insyallah. Semoga semua dapat mengerti walau aku tahu tak semua dapat memahami. Jika ada yang memahami diharap agar dapat diperbaiki. 








nota kaki: akan aku sambung penulisan sebegini jika masih tiada yang memahami. Insyallah. 













No comments: