Tuesday, May 22, 2012

Shila Amzah & Jaclyn Victor ke Jakarta Demi Ahmad Dhani?

Assalamualaikum,


Gaya Ahmad Dhani sebagai ‘sifu’ bagi empayar hijau dalam program Mania yang disiarkan di Astro Ria.


Berulang alik dari Jakarta ke Malaysia sejak bulan lalu demi memenuhi tanggungjawabnya sebagai ‘sifu’ dalam program realiti Mania yang disiarkan di Astro Ria, pemuzik dan komposer dari Indonesia, Ahmad Dhani berhasrat mencipta lagu untuk Jaclyn Victor.


Memuji kelantangan dan kehebatan vokal Juara Malaysian Idol musim pertama itu, Ahmad Dhani melihat Jaclyn atau mesra disapa Jac sebagai penyanyi yang cukup berpotensi dan berbakat besar.


 


Dhani yang ditemui semasa majlis pelancaran album Ahmad Dhani & The Triad berjudul Istimewa di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, setiap kali melihat persembahan hebat Jac di konsert Mania setiap minggu, dia terfikir untuk menghasilkan lagu yang sesuai dengan vokal penyanyi itu.

Mengakui setiap penyanyi yang bertanding di dalam Mania mempunyai vokal yang tersendiri dan bagus, Dhani bagaimanapun merasakan kekurangan pencipta lagu di Malaysia merupakan salah satu sebab mengapa penyanyi di sini tidak berapa menonjol dengan lagu masing-masing.

“Pada pendapat saya, pengarang lagu di Malaysia cukup terhad dan tidak ramai berbanding di Indonesia. Oleh sebab itu, kebanyakan penyanyi yang bersuara bagus seperti Jaclyn Victor tidak mendapat peluang untuk menonjolkan vokalnya.

“Namun, saya akan buktikan vokal sebenar Jaclyn dengan menghasilkan lagu yang sesuai dengan vokalnya itu,” katanya yang turut mengagumi suara Shila Amzah.

Selain merancang menghasilkan lagu untuk Jaclyn, Dhani juga berhasrat mengajak Shila untuk menyanyikan lagu ciptaannya yang akan dimuatkan di dalam album berjudul Antara KL dan Jakarta.

“Banyak perancangan yang ada dalam fikiran saya. Kini, saya sedang fikir untuk mengajak Jaclyn dan Shila Amzah menyanyikan lagu ciptaan saya kerana selain Jaclyn saya lihat Shila juga mempunyai potensi dengan suaranya yang unik.


 


“Saya sudah dengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Shila Amzah, dan saya fikir saya boleh menghasilkan lagu yang lebih baik untuk suara seperti Shila,” katanya lagi.

Sebagai perancangan awal, Dhani kini sedang menjalin kerjasama dengan pihak Astro bagi menghasilkan album yang membariskan lima penyanyi dari Malaysia dan lima lagi penyanyi dari Indonesia.

Menurutnya, lima penyanyi dari Indonesia akan dipilih untuk menyanyikan lagu ciptaan komposer dan pemuzik dari Malaysia sementara lima lagi penyanyi dari Malaysia akan menyanyikan lagu ciptaan Ahmad Dhani sendiri.

“Setakat ini, perancangan untuk album itu sedang berjalan. Terbaru, Stacy sudah merakamkan lagu ciptaan saya berjudul Kimia Di Antara Kita duet bersama Alexa Key.

“Selain itu, artis Indonesia lain yang akan terlibat dalam album ini adalah Mahadewi yang akan menyanyikan lagu Yuna berjudul Cinta Sempurna dan Agnes Monica akan menyanyikan lagu ciptaan Aubrey Suwito berjudul Ingin Bersamamu,” katanya yang menganggap usaha itu sebagai salah satu cara untuk mempromosikan muzik Malaysia di Indonesia



Sumber: sini












nota kaki: Untung juga masuk Mania. Dapat melebarkan sayap ke seberang. =)





No comments: